Rabu, 01 Januari 2014

Desak K’jaan Larang Perkahwinan Bawah Umur



KUALA LUMPUR – Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching menggesa kerajaan meminda undang-undang sivil dan syariah bagi melarang golongan kanak-kanak berkahwin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai turut meminta supaya undang-undang berhubung usia yang dibenarkan untuk berkahwin bagi penganut Islam dan bukan Islam diseragamkan.

Nie Ching membuat gesaan itu dengan memberi alasan tiada bukti saintifik bagaimana agama boleh memberi kesan kepada kematangan mental dan fizikal seseorang.

“Usia untuk perkahwinan orang bukan Islam adalah 18 ke atas di Malaysia. Bagaimanapun, perkahwinan dibenarkan untuk mereka yang berumur antara 16 dan 18 dengan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri.

“Manakala untuk umat Islam usia dibenarkan berkahwin 18 tahun ke atas tetapi dengan kebenaran mahkamah syariah, muslim boleh berkahwin pada sebarang usia,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Nie Ching seterusnya mendakwa, statistik jabatan agama Islam menunjukkan terdapat sebanyak 35 peratus peningkatan permohonan untuk berkahwin bawah umur antara tahun 2008 dan 2010 di Kedah.

Beliau turut mendakwa, jabatan itu menerima sebanyak 75 permohonan perkahwinan bawah umur pada tahun 2008, 2009 (99) dan 2010 (101) dengan dengan 90 peratus pemohon merupakan gadis berusia bawah 16 tahun.

Justeru, katanya, sudah tiba masa untuk kerajaan meminda undang-undang kerana kanak-kanak perempuan lima kali lebih berisiko untuk mati semasa mengandung dan melahirkan anak serta terdedah kepada fizikal, seksual dan penderaan mental.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar