Selasa, 17 Desember 2013

Penghargaan Buat ‘Polis Baik’ Tolong Tukar Tayar


JIKA sebelum ini SiakapKeli pernah menyiarkan ucapan terima kasih orang awam terhadap anggota trafik dan bomba, hari ini satu lagi komen terima kasih kami siarkan sebagai penghargaan buat kakitangan awam yang banyak membantu masyarakat.

Kisahnya terjadi semalam, apabila seorang gadis bernama Phyllis Kong melalui pengalaman pahit apabila tayar keretanya pancit di Lebuhraya Persekutuan pada waktu puncak. Bermakna, pada waktu itu semua orang sedang berlumba-lumba mahu segera pulang ke rumah dan peluang untuk seseorang berhenti membantu amat tipis.

Phyllis cuba menukar tayar keretanya namun kudrat yang ada tidak seberapa kerana skru tayar terlalu ketat dan peralatan tidak mencukupi. Menambahkan stres, cuaca ketika itu sangat panas dan terdapat pula pengguna jalan raya yang sekadar membunyikan hon tanpa berhenti membantu.

Ketika melepaskan lelah seketika dalam kereta, tiba-tiba seorang ‘abang’ polis yang menaiki motosikal berhenti lalu bertanyakan masalah Phyllis. Apabila dimaklumkan tayar keretanya pancit, tanpa banyak soal anggota trafik tersebut terus menukar tayar keretanya.

Tapi ternyata, masalah belum selesai kerana tayar simpanan Phyllis kurang angin. Maka anggota trafik berkenaan membantu pula Phyllis menuju ke stesen minyak berhampiran untuk mengisi angin. Apabila didapati tayar simpanan itu masih bermasalah, anggota trafik itu sekali lagi membantu Phyllis ke kedai tayar pula.

Apa yang membuatkan Phyllis terharu adalah, anggota berkenaan bukan setakat membantu dari mula malah melakukan segala-galanya bagi memastikan masalahnya selesai. Malah pada satu tahap, anggota trafik ini menjaga lalu lintas untuk memberikan laluan kepadanya.

Sebagai tanda penghargaan, Phyllis berkongsi pengalamannya ini di Facebook yang kini mendapat lebih 8,000 like dan lebih 2,000 perkongsian. Sayang sekali, dalam keadaan kelam kabut Phyllis terlupa mengambil nombor lencana anggota trafik berkenaan.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada anggota trafik terbabit. Secara tidak langsung, anda telah menaikkan imej PDRM di mata masyarakat. – REM RAMZI

Tidak ada komentar:

Posting Komentar